Blogger Perantau

Sedar tak sedar, setahun lebih telah berlalu hidup aku sebagai seorang blogger. Bermula pada waktu kebosanan menghadap internet yang telah disekat dari sebarang laman web sosial (waktu praktikal) menjadikan aku buntu dan mencari suatu aktiviti yang baru dan lebih menarik di alam maya. Perkenalan aku dengan dunia blogging, telah diaturkan oleh-Nya dengan sedikit bantuan daripada Eima Jer. Dengan tunjuk ajar beliau, aku mula berjinak-jinak dan selesa dengan dunia tiada sempadan ini.

Dan, hingga hari ini, aku telah menjadi pengikut setia kepada pelbagai jenis blog yang cukup bagus dan menarik-menarik belaka. Dan daripada bermacam aneka kategori blog yang aku ikuti itu, terdapat beberapa blog yang ditulis oleh "blogger perantau".

Siapakah dia "Blogger Perantau"? Tak perlu susah-susah google, sebab ini istilah baru yang aku sendiri buat. Mari lihat definisi bagi perkataan ini.

Blogger Perantau membawa maksud blogger yang terdiri daripada pelajar-pelajar negara ini yang melanjutkan pelajaran di luar tanah air. Pengalaman merantau di negara orang, semestinya memberikan mereka sedikit kelebihan bagi menulis sesuatu yang unik dan berbeza daripada blogger tempatan. Namun disini ditegaskan bahawa aku tidaklah mempertikaikan kehebatan penulisan para blogger tempatan. Jangan terasa hati pula ya.

Sebagai blogger perantau, kebanyakannya daripada mereka terdiri daripada pelajar-pelajar cemerlang yang sering menjadi kebanggaan cikgu-cikgu di sekolah, sudah pasti ditaja oleh pihak kerajaan bagi menunaikan impian mereka melanjutkan pelajaran di luar negara. Dan ironiknya, apabila pelajar-pelajar cemerlang ini mula menjengah ke dunia blogging, mereka juga turut sama mahu cemerlang di dalam bidang penulisan. Entah kenapa, gaya penulisan mereka cukup menarik untuk mendapat perhatian ramai. Dengan aura tersendiri, mereka dapat mengumpul penggunjung blog dengan mudah dalam jangka masa yang singkat.

Berikut merupakan antara blog-blog menarik yang mana penulisnya terdiri daripada blogger perantau :

Mengimbas semula detik yang lepas, aku mula mengenali blog joegrimjow sejak kontroversi sandal Crocs pada suatu ketika dulu. Kagum dengan penulisan beliau, berdakwah secara tidak formal melalui alam maya, tambahan dengan karakternya yang kelakar senang diterima oleh kebanyakan lapisan masyarakat dan rukun tetangga para blogger sekalian. Pelajar kepada Universiti of Sheffield di UK, yang hanya berumur 22 tahun ini cukup senang berkongsi ilmu kepada semua pembaca, dan sangat rajin mengemaskini blognya setiap hari untuk beberapa entri yang menarik.

Blog Ariff Shah pula telah diperkenalkan oleh joegrimjow di dalam salah satu entrinya yang terdahulu. Tertarik dengan tips-tips berguna dan berinformasi yang diberikan, menjadikan aku salah seorang pengunjung setia kepada blog miliknya. Juga seperti joegrimjow, beliau cukup rajin mengemaskini blog setiap hari dengan isu-isu semasa yang dibincangkan dengan jelas dan padat. Bahasa yang digunakan olehnya cukup mudah difahami dan straight-to-the-point, menjadikan blog milik pelajar Moscow Aviation Institute, Rusia ini menjadi popular dengan sekelip mata. Baru-baru ini juga, wajah beliau menghiasi halaman suratkhabar tempatan di atas kemenangannya bagi peraduan yang dianjurkan oleh pihak pengiklanan blog, menjadikan traffic kunjungan blognya mencanak naik dengan tinggi.

Chibee pula diperkenalkan oleh Ariff Shah yang mana terdiri daripada senarai 10 blog yang tercantik bagi pendapatnya. Pelajar yang menuntut di negara Jerman ini seringkali berkongsi dengan para pembaca gambar-gambar menarik yang sempat dirakamkan olehnya di sekitar negara tersebut. Senang berkongsi pengalaman dengan blogger-blogger lain tentang kehidupannya disana, menarik ramai pengunjung untuk melawat blog miliknya.

Belog Cap Ayam juga merupakan salah satu daripada blog yang disenaraikan di dalam senarai 10 blog tercantik di dalam blog Arif Syah. Tajuk blog yang cukup menarik, ditambah dengan hiasan blognya yang cukup ringkas dan teratur, pastinya menarik perhatian setiap pengunjung yang singgah di blog milik bakal doktor gigi ini. Gaya penulisan yang bersahaja dengan suntikan elemen lucu, menarik hati aku untuk menekan butang "follow" sebagai pembaca tetap bagi blognya.

Kucing Belang pula sebuah kisah yang lain. Menjadi penulis jemputan di dalam blog joegrimjow telah membuka mata ramai blogger tentang bakat penulisan yang dimilikinya. Beliau cukup hebat mengolah ayat dan kata-kata, dan menjadikannya ianya suatu entri yang cukup menarik untuk dibaca hingga ke titik noktah yang terakhir. Puitis, tapi cukup bermakna dan penuh dengan isi tersirat, pembaca perlu merungkai sendiri apa yang cuba disampaikan oleh penulis, yang mengharapkan pembaca mengenalinya melalui catatannya.

Made from vinegar and ice yang ditulis oleh penulis anonymous, Magenta, lebih ekstrem di dalam meluahkan pendapatnya mengenai satu-satu isu atau perkara. Pelbagai informasi yang berguna dapat diperolehi sepanjang menjadi pembaca tetap blog ini, dimana beliau dapat menyedarkan tentang apa yang sedang berlaku di sekeliling kita. Menjadi salah satu blog yang ditunggu-tunggu untuk dibaca, kerna keunikan isi kandungannya dan cara penyampaiannya yang tersendiri, ianya di dalam senarai blog rare yang sukar untuk ditemui pada masa kini. Namun disebabkan ianya rare, maka blog ini jarang dikemaskini oleh pemiliknya. (-_-")

Agak-agak apa yang seronok dan kurang seronok bila belajar di negara orang? Mungkin seronok dapat membanggakan kedua ibubapa dengan belajar di oversea (tipikal), berjumpa dengan orang luar setiap hari, pergi ke tempat-tempat menarik di hujung minggu, bergaul dengan rakan senegara yang agak rare juga untuk ditemui kat situ, nikmati musim-musim lain yang tak pernah rasa sepanjang di Malaysia, dan mungkin juga yang ini, pabila bulan bergelar Syawal mula menjengah ke kalendar Islam.



Maka ada apa-apa yang kurang seronok ke? Jangan lupa, suasana pembelajaran di sana dan di negara ini cukup berbeza. Mungkin disini telah biasa di suap dengan nota-nota kuliah yang diberikan oleh para pensyarah, siap dihantarkan terus ke email masing-masing, sambil online taip entry baru, sambil download nota kuliah. Lepas tu tak pernah buka sampai la ada apa-apa test ataupun final exam keesokan harinya. Erk, macam ada pengalaman je bro? Dan kau jangan lupa juga, bukan mudah ingin hidup sebagai golongan minoriti di tempat orang. Perlu berdikari sendiri, itu sudah kemestian, makanan yang benar-benar halal juga barangkali sukar ditemui di sana, maka ingin yang halal apa kata kau bela ayam dan sembelih sendiri, masak sendiri dan makan juga sendiri-sendiri (okay yang ni tak payah ikut). Sekurang-kurangnya kau lebih berwaspada dengan makanan yang dibeli di sana, daripada di negara ini yang banyak sangat dikatakan halal, pun akhirnya berita yang sebaliknya dipaparkan di halaman suratkhabar utama. Lagi satu, bila bulan Ramadhan macam ni, confirm-confirm la takde bazar yang boleh kau pergi untuk beli makanan kegemaran kau. Takpe, kurang dosa kau dapat, daripada macam-macam perkara yang boleh kurangkan pahala jika kau pergi ke bazar setiap hari. Kan? Tak lupa juga, bila hari raya menjelang, mula la nak terbayang suasana kampung halaman yang indah permai. Bersama celoteh sanak-saudara dan himpunan kuih raya beraneka jenis tersedia di atas meja, cukup untuk buat kau rasa suatu perasaan dipanggil rindu. Lepas tu mula la kesat-kesat mata konon-konon masuk habuk bila dengar lagu "Dendang Perantau". :P

Pabila diimbas kembali, rasa menyesal juga kenapa dulu tak bersungguh-sungguh belajar sepanjang zaman persekolahan. Awek takde, kawan entah ke mana, tak menarik langsung pun hidup di zaman persekolahan aku masa tu. Kalau tak, mungkin aku dah boleh dapat awek Jepun sorang dua, pastu dengan bangga upload dalam facebook. Ceh bajet aku ni bijak pandai la, belajar lebih sikit dah boleh jumpa banyak huruf A dalam slip keputusan! Sayang, sebab sewaktu tu aku tak mempunyai sebarang impian untuk dikejar, just follow the flow kata orang puteh. Erk, macam sekarang aku ada impian pula? Hidup tanpa tujuan ni memang bermasalah, sebab bila kau toleh belakang satu hari nanti, kau akan sedar kau boleh capai yang lebih baik dalam hidup kau, cuma kau tak pernah terpikir untuk berusaha ke arah tu.

Tapi semalam baru baca entry Ariff Shah yang ini, macam tak best pula belajar di negara orang. Baiklah, aku tarik balik kata-kata aku tadi (senang betul dipengaruh). Mungkin aku hanya akan melancong ke negara-negara luar pada satu hari nanti, jika keadaan kewangan dan kesihatan mengizinkan, dan sudah semestinya dengan keizinan daripada-Nya. Ah, aku ni cakap je lebih, bila aku cakap aku tak pernah sampai Genting selama 20 something umur aku, kawan-kawan mula nak gelak kuat-kuat. Kesian kat aku, kan?

Okay, rasanya dah macam buat Case Study pula panjangnya entry aku kali ni. Siapa-siapa nak guna buat tesis, silakan la ya? Jangan lupa quote nama aku. :)

Ohh, sebelum terlupa, yang ni lagi satu tertinggal, baru je menjadi anak perantau yang agak jakun dengan negara matahari terbit, Elsa Soraya : You Promise Me Ai. Penulisan yang cukup menarik dengan susunan bahasa yang indah, tapi sayang, beliau baru sahaja mem-private-kan blog miliknya. Tapi sebab aku antara pembaca setia, aku masih dibenarkan membaca blog beliau. :') Jika kau berminat, sila tinggalkan email di ruang komen. Aku cuba tanya dia macam mana. Alright guys?

6 comments

hakimfaridzul | August 17, 2010 at 9:11 PM

fulamak!!!!
gila panjang description kau!!!!!

huhuhuhuhu

slay | August 18, 2010 at 12:33 AM

hehe. 2 hari jugak la aku guna nak siapkan entry ni bro. dah macam buat assigment pulak! :P

joegrimjow | August 20, 2010 at 7:05 AM

waahh, ada namaku disitu
huhu
thx u thx u
tugas dakwah ni semua wajib
langsung xlangsung, semua kena buat
;)

slay | August 20, 2010 at 9:12 AM

hehe, welcome joe. nama blog ko yg paling atas sekali, sebab drp blog ko la aku kenal blog2 lain yg cukup best dan berinformasi. you deserve it! :)

thanks to you too. tak sangka pulak ko nak singgah blog buruk aku ni. wah tak bleh tido la aku pagi ni. kekeke.

Dolmar Desserts | September 11, 2010 at 1:17 PM

haha, sweetnyeee!
tak [ernah roger pun tentang entry ni??thanks slay! nak curi ayat pasal blog saye tu ye. macam masuk news paper punye ayat lah!:D

slay | September 16, 2010 at 10:55 PM

hehe, pencurian ayat tersebut telah diizinkan. silakan. ;P

wah wah yeke? ada bakat jadi wartawan tak? hehehe.

apepun, terima kasih atas lawatan mengejut cik tokey ayam ke blog buruk saya ni.. :D