Manusia Mati Meninggalkan Nama, Aku Mati Meninggalkan...

Kepada yang mengenali diri aku, mesti ada yang rasa aku ni poyo gila kan? Tulis entri macam best je, nasihat macam-macam, padahal diri sendiri bukan betul sangat.

Untuk pengetahuan semua, entri yang ditulis bukanlah untuk ditujukan kepada sesiapa, tapi cukup sekadar untuk mengingatkan diri sendiri. Aku ni manusia biasa, lemah dan lalai, hari ni aku cakap macam ni, esok-esok aku buat benda lain. Tapi bila aku tulis nasihat untuk diri sendiri kat sini, sekurang-kurangnya dapat mengingatkan diri sendiri, yang mudah lupa dan leka dengan urusan duniawi ni. Dan jika ada pembaca yang ikut nasihat yang diberi, itu bonus. Tak rugi apape, untung lagi ada. Ye tak? Bak kata salah seorang Blogger Perantau, kita memang tak boleh ubah siapa diri kita, tapi kita boleh berubah menjadi lebih baik, kan? :)


* * *


Satu hari nanti, kita akan ditemukan dengan malaikat maut yang bernama Izrail. Bila? Itu rahsia milik-Nya. Mungkin hari ini, mungkin esok, mungkin lusa, mungkin juga bertahun-tahun lagi. Hidup ini tidak pernah menjamin apa-apa, tidak pernah mempunyai kepastian, kecuali janji-janji daripada-Nya.

Pelaburan ; sepatah perkataan yang sinonim dengan pulangan yang dijanjikan pada masa depan. Masing-masing kita sibuk mendapatkan peluang yang terbaik untuk membuat pelaburan yang bagus bagi menjamin masa depan yang cerah.



Tapi, berapa ramai sangat yang melabur untuk masa depan yang hakiki? Dan berapa banyak pula yang telah anda laburkan, untuk menjamin kesenangan masa depan anda?

Ramai yang tidak sedar, bahawa bukan sahaja masa depan duniawi yang perlu dititikberatkan, tetapi masa depan di akhirat juga perlu diambil kira oleh setiap manusia yang bergelar muslim. Sebagaimana kita menabung sedikit demi sedikit untuk kegunaan masa depan, kita juga perlu menabung sedikit demi sedikit sebagai persiapan menghadapi hari yang mendatang.

Kerna, bila aku sudah tiada, simpan semua lagu ku aku ingin sesuatu yang aku sumbangkan di dunia sementara ini, boleh dibawa ke alam yang satu lagi. Dalam kata lain, aku berminat untuk buat sedikit pelaburan untuk menghadapi akhirat. Apakah bentuk pelaburan yang boleh dilakukan dan menjamin keuntungan kepada para pelaburnya? Mari kita lihat sama-sama.

 1) Doa anak-anak soleh.

Yang ini, aku tak nak komen banyak-banyak. Sebabnya satu, aku tak kawin lagi, dua, aku takde anak lagi, tiga, ilmu tak cukup lagi untuk menjadi suami dan bapa mithali (baru layak ada anak yang soleh), dan keempat, belum tentu lagi aku ditakdirkan untuk melalui fasa kehidupan tersebut. Tapi, kepada sesiapa yang telah berumahtangga, didiklah anak anda dengan baik, dan doakan mereka berada di dalam golongan orang-orang yang soleh. Moga kamu dapat menikmati hasilnya kelak.

Ohh yang belum berumahtangga, jangan lupa doakan kebahagiaan ibubapa kamu. Tak kira yang masih hidup atau sudah ditakdirkan berjumpa dengan-Nya terlebih dahulu, jangan dilupakan mereka selepas solat lima waktu. Kata nak anak kau doakan untuk kau bukan? Apa kata kau yang mulakan dulu! :)

 2) Ilmu bermanfaat yang dikongsi bersama.

Yang ini, biasanya terdiri di dalam kelompok tenaga pengajar, atau dikenali sebagai guru, ustaz, pensyarah, dan yang sewaktu dengannya. Eh, blogger pun boleh terkelompok dalam kategori ni juga. Dah banyak ilmu aku dapat sejak terlibat di dalam dunia blogging ni. Aku tak banyak ilmu untuk dikongsikan, dan kadangkala aku sendiri kurang pasti tentang kesahihan ilmu tersebut, menyebabkan aku kurang berkeyakinan untuk berkongsi dengan orang lain. Tapi jika yang aku tahu, dan aku pasti ianya benar, maka ilmu yang aku ada itu insya-Allah aku akan kongsikan bersama kamu semua, di sini. :)

3) Sedekah jariah yang diberikan dengan ikhlas

Sedekah disini tidak terhad kepada sumbangan duit semata-mata. Mungkin juga boleh terdiri daripada harta-harta yang diwakafkan untuk kegunaan awam.

Bagi aku, yang ketiga itulah yang paling senang dan ringkas, salah satu amalan yang paling mudah untuk dilaksanakan. Bukan suruh kau bangun tengah malam kerjakan solat sunat, atau pergi ke merata tempat untuk berdakwah, tapi cuma keluarkan sedikit harta yang kau ada untuk kegunaan akan datang. Contohnya, jika kau wakafkan tanah untuk dibina masjid, dah tentu punya kau dapat pahala yang tak henti-henti bila kau mati nanti, selagi masih ada yang menggunakan masjid tersebut dengan tujuan yang betul. Pelaburan yang dah tentu takde risiko kerugian langsung, untung berganda-ganda pun takde orang nak buat, nak juga masuk macam-macam program di internet yang mana hari esoknya muka pengasasnya keluar di kaca televisyen, dalam berita utama di atas tuduhan menipu korang semua. Paling-paling tidak pun, jika tak mampu untuk mewakafkan harta (sebab harta sendiri pun takde), apa kata ringan-ringankan sikit tangan kau tu hulurkan beberapa keping wang kertas dalam dompet kulit kau tu ke dalam tabung-tabung masjid. Walaupun tak banyak, amalkan selalu, jadikan kebiasaan, macam kebiasaan kau hari-hari makan nasi lauk ayam (eh eh, itu aku -_-"). Bila dah biasa, hati kau lebih mudah terbuka untuk sumbangkan wang untuk tujuan kebajikan macam ni, berbeza kalau kau tak biasa, mestilah kau fikir sepuluh kali atau lebih, nak bagi alasan apa taknak bagi kan. Bukan apa, anggaplah duit tu macam kau menabung, tiap-tiap hari seringgit, tiga puluh hari dah tiga puluh ringgit kan. Setahun dah berapa? Nilai pahala yang kau dapat jauh bezanya jika dibandingkan dengan nilai duit seringgit yang boleh dapat kuih tiga keping kecik-kecik je sekarang ni kan. T___T

Cuba buat, nanti kat akhirat bagitau aku hasilnya macam mana. Mana tau kot-kot banyak sangat hasil yang kau dapat, kau nak bagi kat aku sikit nanti, kan? :)


Manusia mati meninggalkan nama, aku mati meninggalkan . . . . . blog?