Mengenal Erti Syukur


Pagi ini, aku bersahur di rumah, pertama kali pada bulan Ramadhan tahun ini. Namun, ada sesuatu yang berbeza aku lalui jika dibandingkan dengan pagi di bulan-bulan Ramadhan yang lain, dimana aku menikmati makanan dengan penuh rasa syukur.

Pada hari-hari yang lepas, aku bersahur di asrama bersama-sama dengan roommate tersayang. Jika malam sebelumnya telah dirancang untuk bersahur makanan berat (nasi), maka alarm jam perlu disetkan pada pukul 4 pagi. Namun jika hanya ingin bersahur roti (konon nak diet), jam 5 pagi barulah alarm tersebut mengejutkan kami dari lamunan mimpi.

Maka seawal pukul 4 pagi, setelah bertungkus-lumus menundukkan nafsu tidur yang amat kuat dan setelah selesai menyegarkan diri, kami berdua bergerak menuju ke arked berhampiran. Walaupun namanya arked, hanya satu sahaja kedai makan yang dibuka untuk para pelajar, yang menyediakan juadah bersahur. Dan walaupun juadah bersahur tu langsung tak menyelerakan, dan tiada pilihan menarik, namun tetap juga aku gagahkan untuk menelan setiap butir nasi yang telah dibubuh di atas pinggan. 

Itu antara pengalaman ringkas aku bersahur di tempat orang. Sebab sebelum ini, aku tidak pernah rajin untuk bangun pagi semata-mata untuk bersahur, tetapi lebih seronok melayan kehendak tidur sahaja (tinggal sendirian). Tapi pabila tiba-tiba mendapat roommate yang rajin untuk bangun bersahur,  dimana tiada makna katanya puasa tanpa bersahur, maka aku layankan sahaja kehendaknya.

Berbalik semula kepada kisah permulaan tadi, jam dinding yang menunjukkan hampir pukul 5 pagi dapat aku lihat tatkala membuka mata setelah dikejut oleh ibuku. Bingkas bangun tanpa rungutan, menuju ke tandas untuk menyegarkan diri sebelum mengadap makanan yang disediakan. Wah macam-macam makanan panas telah dimasak oleh ibu kesayangan, maka makanlah aku dengan penuh nikmat dan rasa syukur. Benar, aku makan dengan penuh berselera, mungkin jauh lebih berselera daripada waktu berbuka. Perut tidaklah lapar, tapi melihatkan nikmat makanan yang diberikan dihadapanku, tanpa rasa ragu aku terus mengisi perut sebagai sumber tenaga untuk hari esok. 

Jauh bezanya jika dibandingkan dengan pagi-pagi yang lalu, rasa mahu makan itu tiada, lauk yang tak membangkitkan selera, makan hanya sekadar melepaskan batuk ditangga. Dan jauh lagi bezanya, seperti aku pada waktu dulu, Ramadhan-Ramadhan yang lalu, yang hanya bangun setelah berulang kali dikejut, dengan bermalas-malasan dan menggosok-gosok mata, mengadap makanan tanpa rasa selera. Makan pula seperti dipaksa, tilam dan bantal terbayang-bayang di kepala. Syukur itu tiada, kerna tidak pernah merasakan susah bila bersahur di tempat orang, yang jauh nikmatnya bila dibandingkan di tempat sendiri.

Dan syukur, aku diberikan peluang untuk menikmati indahnya nikmat bersahur. Alhamdullilah.

* * *

Selepas aku bersahur, tonton drama "Nurkasih" di kaca televisyen. Dah lama tak tonton cerita ni, walaupun telah diulang tayang berulang kali di stesen yang sama. Kali ini, episod di mana Sarah yang perasan dia hendak dipinang oleh Aidil, abang kepada Adam. Dan episod ini diakhiri dengan Sarah tersentak bila mengetahui berita sebenar, lelaki idamannya itu ingin berkahwin dengan orang lain. Diiringi dengan deraian jag minuman kaca, pengarah drama cukup bijak menggambarkan hati Sarah yang turut pecah berderai pada masa yang sama. Benarlah, lelaki yang baik itu untuk perempuan yang baik. Tak percaya, mari kita tunggu dan lihat siapakah jodoh anda. Dan bila aku tengok Nur tadi, aku . . . . (menghentikan penulisan, fikiran melayang)

6 comments

Eima Jer | August 20, 2010 at 8:04 PM

semakin alim adik aku ni...
cane nk ajak karok neh..
=)

slay | August 20, 2010 at 9:29 PM

haha alim celah mananya.. takde la, aku macam ni la jugak.

karok takde hal. lagu nasyid pun layann. :P

joegrimjow | August 20, 2010 at 10:36 PM

nanti tak komen bukan tanda tak baca okey
hehe

sayang kalau penulisan bagus orang tak baca, kena kuat promote lagi

art of promotion gitu
;)

happy blogging

slay | August 20, 2010 at 11:19 PM

haha bagus ke? takde la bro, biase-biase je.

nak promote tapi tak reti macam mana. dah ping blog kat geng blogger, publish kat facebook, takde kesan sangat.

kawan-kawan pula kebanyakan bukan blogger.

takpe la, masih banyak perlu belajar dan diperbaiki lagi. kalau penulisan cukup menarik, pembaca akan datang sendiri.

happy blogwalking! :)

Tieah Madian | August 22, 2010 at 10:26 AM

Haha..
Semua orang lps je sahur layan nur kasih ek..
Berjuta kali ulang pun ttp ade penonton..
Syabas kpd penulis skrip dan pengarah cite tu..

slay | August 22, 2010 at 12:58 PM

Yup. antara drama melayu terbaik abad ini. tak terlalu tipikal dengan drama-drama melayu lain ; rebut harta, hasad dengki, anak derhaka, dan kisah lain yang mengundang air mata. ;)