No comment yet

Manusia Mati Meninggalkan Nama, Aku Mati Meninggalkan...

Kepada yang mengenali diri aku, mesti ada yang rasa aku ni poyo gila kan? Tulis entri macam best je, nasihat macam-macam, padahal diri sendiri bukan betul sangat.

Untuk pengetahuan semua, entri yang ditulis bukanlah untuk ditujukan kepada sesiapa, tapi cukup sekadar untuk mengingatkan diri sendiri. Aku ni manusia biasa, lemah dan lalai, hari ni aku cakap macam ni, esok-esok aku buat benda lain. Tapi bila aku tulis nasihat untuk diri sendiri kat sini, sekurang-kurangnya dapat mengingatkan diri sendiri, yang mudah lupa dan leka dengan urusan duniawi ni. Dan jika ada pembaca yang ikut nasihat yang diberi, itu bonus. Tak rugi apape, untung lagi ada. Ye tak? Bak kata salah seorang Blogger Perantau, kita memang tak boleh ubah siapa diri kita, tapi kita boleh berubah menjadi lebih baik, kan? :)


* * *


Satu hari nanti, kita akan ditemukan dengan malaikat maut yang bernama Izrail. Bila? Itu rahsia milik-Nya. Mungkin hari ini, mungkin esok, mungkin lusa, mungkin juga bertahun-tahun lagi. Hidup ini tidak pernah menjamin apa-apa, tidak pernah mempunyai kepastian, kecuali janji-janji daripada-Nya.

Pelaburan ; sepatah perkataan yang sinonim dengan pulangan yang dijanjikan pada masa depan. Masing-masing kita sibuk mendapatkan peluang yang terbaik untuk membuat pelaburan yang bagus bagi menjamin masa depan yang cerah.



Tapi, berapa ramai sangat yang melabur untuk masa depan yang hakiki? Dan berapa banyak pula yang telah anda laburkan, untuk menjamin kesenangan masa depan anda?

Ramai yang tidak sedar, bahawa bukan sahaja masa depan duniawi yang perlu dititikberatkan, tetapi masa depan di akhirat juga perlu diambil kira oleh setiap manusia yang bergelar muslim. Sebagaimana kita menabung sedikit demi sedikit untuk kegunaan masa depan, kita juga perlu menabung sedikit demi sedikit sebagai persiapan menghadapi hari yang mendatang.

Kerna, bila aku sudah tiada, simpan semua lagu ku aku ingin sesuatu yang aku sumbangkan di dunia sementara ini, boleh dibawa ke alam yang satu lagi. Dalam kata lain, aku berminat untuk buat sedikit pelaburan untuk menghadapi akhirat. Apakah bentuk pelaburan yang boleh dilakukan dan menjamin keuntungan kepada para pelaburnya? Mari kita lihat sama-sama.

 1) Doa anak-anak soleh.

Yang ini, aku tak nak komen banyak-banyak. Sebabnya satu, aku tak kawin lagi, dua, aku takde anak lagi, tiga, ilmu tak cukup lagi untuk menjadi suami dan bapa mithali (baru layak ada anak yang soleh), dan keempat, belum tentu lagi aku ditakdirkan untuk melalui fasa kehidupan tersebut. Tapi, kepada sesiapa yang telah berumahtangga, didiklah anak anda dengan baik, dan doakan mereka berada di dalam golongan orang-orang yang soleh. Moga kamu dapat menikmati hasilnya kelak.

Ohh yang belum berumahtangga, jangan lupa doakan kebahagiaan ibubapa kamu. Tak kira yang masih hidup atau sudah ditakdirkan berjumpa dengan-Nya terlebih dahulu, jangan dilupakan mereka selepas solat lima waktu. Kata nak anak kau doakan untuk kau bukan? Apa kata kau yang mulakan dulu! :)

 2) Ilmu bermanfaat yang dikongsi bersama.

Yang ini, biasanya terdiri di dalam kelompok tenaga pengajar, atau dikenali sebagai guru, ustaz, pensyarah, dan yang sewaktu dengannya. Eh, blogger pun boleh terkelompok dalam kategori ni juga. Dah banyak ilmu aku dapat sejak terlibat di dalam dunia blogging ni. Aku tak banyak ilmu untuk dikongsikan, dan kadangkala aku sendiri kurang pasti tentang kesahihan ilmu tersebut, menyebabkan aku kurang berkeyakinan untuk berkongsi dengan orang lain. Tapi jika yang aku tahu, dan aku pasti ianya benar, maka ilmu yang aku ada itu insya-Allah aku akan kongsikan bersama kamu semua, di sini. :)

3) Sedekah jariah yang diberikan dengan ikhlas

Sedekah disini tidak terhad kepada sumbangan duit semata-mata. Mungkin juga boleh terdiri daripada harta-harta yang diwakafkan untuk kegunaan awam.

Bagi aku, yang ketiga itulah yang paling senang dan ringkas, salah satu amalan yang paling mudah untuk dilaksanakan. Bukan suruh kau bangun tengah malam kerjakan solat sunat, atau pergi ke merata tempat untuk berdakwah, tapi cuma keluarkan sedikit harta yang kau ada untuk kegunaan akan datang. Contohnya, jika kau wakafkan tanah untuk dibina masjid, dah tentu punya kau dapat pahala yang tak henti-henti bila kau mati nanti, selagi masih ada yang menggunakan masjid tersebut dengan tujuan yang betul. Pelaburan yang dah tentu takde risiko kerugian langsung, untung berganda-ganda pun takde orang nak buat, nak juga masuk macam-macam program di internet yang mana hari esoknya muka pengasasnya keluar di kaca televisyen, dalam berita utama di atas tuduhan menipu korang semua. Paling-paling tidak pun, jika tak mampu untuk mewakafkan harta (sebab harta sendiri pun takde), apa kata ringan-ringankan sikit tangan kau tu hulurkan beberapa keping wang kertas dalam dompet kulit kau tu ke dalam tabung-tabung masjid. Walaupun tak banyak, amalkan selalu, jadikan kebiasaan, macam kebiasaan kau hari-hari makan nasi lauk ayam (eh eh, itu aku -_-"). Bila dah biasa, hati kau lebih mudah terbuka untuk sumbangkan wang untuk tujuan kebajikan macam ni, berbeza kalau kau tak biasa, mestilah kau fikir sepuluh kali atau lebih, nak bagi alasan apa taknak bagi kan. Bukan apa, anggaplah duit tu macam kau menabung, tiap-tiap hari seringgit, tiga puluh hari dah tiga puluh ringgit kan. Setahun dah berapa? Nilai pahala yang kau dapat jauh bezanya jika dibandingkan dengan nilai duit seringgit yang boleh dapat kuih tiga keping kecik-kecik je sekarang ni kan. T___T

Cuba buat, nanti kat akhirat bagitau aku hasilnya macam mana. Mana tau kot-kot banyak sangat hasil yang kau dapat, kau nak bagi kat aku sikit nanti, kan? :)


Manusia mati meninggalkan nama, aku mati meninggalkan . . . . . blog?
2 comments

Buat Baik Dibalas Baik

Harap maklum, ini bukanlah entry ulangan mengenai Karma sebelum ni. Mungkin ada kaitan, tapi aku nak ulas dari perspektif yang berbeza. Ohh mungkin yang berbeza cuma bahasa penyampaian, mungkin kah? T__T

Buat baik dibalas baik. Ungkapan ini cukup sinonim dengan kita waktu sekolah rendah dulu. Cikgu cakap kita kena buat baik dengan semua orang, nanti orang lain buat baik juga dengan kita. Benarkah cikgu? Tapi cikgu tapi cikgu (dialog budak sekolah rendah), macam mana kalau orang yang kita buat baik buat jahat kat kita pula? Ohh tidak, buat jahat jangan sekali kata cikgu. Patut la macam-macam kes melibatkan murid dan cikgu sekolah sekarang ni berlaku, disebabkan kegagalan memahami maksud sebenar ungkapan itu mungkin, buat jahat bukan sekali, tapi berkali-kali. -_-"



Kenapa perlu buat baik? Kerna Baik ada seorang kawan nama dia; Buruk (bukan Beruk). Muka Buruk sebijik macam muka Baik (Rujuk rajah di atas). Kadang-kala orang salah sangka ingatkan mereka berdua adik-beradik kembar seibu sebapa. Nak bezakan mereka berdua mudah sahaja, sorang ada gelang atas kepala (macam ring planet Uranus) dan sorang lagi ada sepasang tanduk comel. Nak lagi mudah kenal mereka berdua, lihat sahaja perangainya. Sikap Buruk jauh berbeza dengan sikap Baik, dimana sikapnya sangat teruk dan hodoh berbanding dengan nilai-nilai murni yang ditunjukkan oleh Baik. Maka, lebih ramai orang sukakan Baik daripada Buruk, walaupun Buruk ada pengikutnya sendiri.

Disebalik memahami teori baik dan buruk diatas, harus juga difahami bagaimana ungkapan diatas berfungsi. Buat baik dibalas baik tak bermaksud kau buat baik kat seseorang, orang tu akan buat baik juga pada kau (tipikal). Ohh tidak-tidak, silap tu. Mungkin kau buat baik dekat A, tapi A tak buat apa-apa (baik atau buruk) untuk balas kebaikan yang kau buat, tapi mungkin B, yang datang entah dari mana, buat baik pula kepada kau. Contoh situasi yang paling mudah ialah kau sedang memandu kereta, ketika itu kesesakan lalulintas sedang berlaku di jalanraya. Dalam keadaan bersesak-sesak itu, ada sebuah kereta di sebelah kiri jalan sedang berusaha untuk masuk ke line jalan kau. Dan kau dengan baik hatinya, berikan laluan kepadanya. (Ya, mungkin itu salah dia, sebab berada di sebelah kiri jalan, dan mungkin juga tidak, sebab mungkin dia kurang familiar dengan area jalan di situ.) Kemudian, di lain hari dan lain tempat, kau berada di situasi yang sama, kecuali kali ni kau yang berada di tempat pemandu yang terkial-kial ingin cuba masuk ke line jalan orang lain. Kemudian, ada pemandu lain yang dibukakan pintu hatinya untuk memberikan kau laluan. Maka, adakah kau dibantu oleh pemandu sama yang kau tolong sebelum ni? Tidak bukan? Tetapi dengan menolong orang lain, kau juga dibantu oleh orang lain, sama ada kau sedar atau tidak. Itulah yang aku cuba sampaikan, kita buat baik kepada orang lain, tapi belum tentu orang yang sama akan buat baik semula kepada kau (mungkin ada), malahan terdapat juga kemungkinan dia buat benda tak baik kat kau. Tapi ada orang lain, yang mungkin kau tak pernah terfikir dan terlintas langsung akan berbuat baik dengan kau, memberikan pertolongan kepada kau pada masa yang tak disangka-sangka.

Namun daripada kenyataan di atas, nampak sangat nak buat baik dengan harapan orang lain juga akan berbuat baik kepada kita. Dengan kata lain, mengharapkan balasan. Atau dalam kata mudahnya, perbuatan baik itu tidak ikhlas langsung, kerana mengharapkan suatu hasil atau balasan diterima daripada pihak yang satu lagi.

Bagi aku, nak buat baik, nak tolong orang, biarlah buat dengan seikhlas mungkin. Tak perlu harapkan apa-apa. Sebab bila kau buat baik dengan hati yang ikhlas, kau akan rasa suatu perasaan unik selepas kau tolong mereka, iaitu perasaan gembira dan seronok dapat membantu yang memerlukan. Dan bila rasa perasaan macam tu, rasa berbaloi-baloi bila dapat tolong orang. :)

Satu lagi, kalau boleh, tak perlu lah bagitau orang satu dunia kau dah buat baik dekat orang. Tu dah la tak ikhlas, riak dan takbur pula. Jangan kata pahala, dosa pula yang ditambah. Kan lebih baik jika tangan kanan yang memberi, tangan kiri langsung tak tahu. Cantik Betul tak?


* * *


Mulakan langkah pertama anda untuk berbuat baik pada hari ini, dengan klik iklan Nuffnang di sidebar sebelah kanan anda. Mungkin jika anda tekan sekarang, 3 - 4 rakan anda yang lain sedang klik iklan anda pada waktu yang sama (balasan berbuat baik). Mungkin juga lebih. Dan apa kata anda gandakan bilangan tersebut dengan mempromosikan kepada rakan-rakan anda untuk melawat blog buruk ini dan menggalakkan mereka untuk klik iklan tersebut. Tapi ditegaskan disitu, MUNGKIN sahaja. Mungkin tiada siapa-siapa pun nak klik iklan anda. Bila keadaan seperti ini berlaku, sila baca, fahami dan hayati semula entri ini, bahawa, kesimpulannya, buat baik hendaklah dengan hati yang tulus dan ikhlas, dan tidaklah mengharapkan sebarang balasan dari orang lain. Kekeke. :P
6 comments

Mengenal Erti Syukur


Pagi ini, aku bersahur di rumah, pertama kali pada bulan Ramadhan tahun ini. Namun, ada sesuatu yang berbeza aku lalui jika dibandingkan dengan pagi di bulan-bulan Ramadhan yang lain, dimana aku menikmati makanan dengan penuh rasa syukur.

Pada hari-hari yang lepas, aku bersahur di asrama bersama-sama dengan roommate tersayang. Jika malam sebelumnya telah dirancang untuk bersahur makanan berat (nasi), maka alarm jam perlu disetkan pada pukul 4 pagi. Namun jika hanya ingin bersahur roti (konon nak diet), jam 5 pagi barulah alarm tersebut mengejutkan kami dari lamunan mimpi.

Maka seawal pukul 4 pagi, setelah bertungkus-lumus menundukkan nafsu tidur yang amat kuat dan setelah selesai menyegarkan diri, kami berdua bergerak menuju ke arked berhampiran. Walaupun namanya arked, hanya satu sahaja kedai makan yang dibuka untuk para pelajar, yang menyediakan juadah bersahur. Dan walaupun juadah bersahur tu langsung tak menyelerakan, dan tiada pilihan menarik, namun tetap juga aku gagahkan untuk menelan setiap butir nasi yang telah dibubuh di atas pinggan. 

Itu antara pengalaman ringkas aku bersahur di tempat orang. Sebab sebelum ini, aku tidak pernah rajin untuk bangun pagi semata-mata untuk bersahur, tetapi lebih seronok melayan kehendak tidur sahaja (tinggal sendirian). Tapi pabila tiba-tiba mendapat roommate yang rajin untuk bangun bersahur,  dimana tiada makna katanya puasa tanpa bersahur, maka aku layankan sahaja kehendaknya.

Berbalik semula kepada kisah permulaan tadi, jam dinding yang menunjukkan hampir pukul 5 pagi dapat aku lihat tatkala membuka mata setelah dikejut oleh ibuku. Bingkas bangun tanpa rungutan, menuju ke tandas untuk menyegarkan diri sebelum mengadap makanan yang disediakan. Wah macam-macam makanan panas telah dimasak oleh ibu kesayangan, maka makanlah aku dengan penuh nikmat dan rasa syukur. Benar, aku makan dengan penuh berselera, mungkin jauh lebih berselera daripada waktu berbuka. Perut tidaklah lapar, tapi melihatkan nikmat makanan yang diberikan dihadapanku, tanpa rasa ragu aku terus mengisi perut sebagai sumber tenaga untuk hari esok. 

Jauh bezanya jika dibandingkan dengan pagi-pagi yang lalu, rasa mahu makan itu tiada, lauk yang tak membangkitkan selera, makan hanya sekadar melepaskan batuk ditangga. Dan jauh lagi bezanya, seperti aku pada waktu dulu, Ramadhan-Ramadhan yang lalu, yang hanya bangun setelah berulang kali dikejut, dengan bermalas-malasan dan menggosok-gosok mata, mengadap makanan tanpa rasa selera. Makan pula seperti dipaksa, tilam dan bantal terbayang-bayang di kepala. Syukur itu tiada, kerna tidak pernah merasakan susah bila bersahur di tempat orang, yang jauh nikmatnya bila dibandingkan di tempat sendiri.

Dan syukur, aku diberikan peluang untuk menikmati indahnya nikmat bersahur. Alhamdullilah.

* * *

Selepas aku bersahur, tonton drama "Nurkasih" di kaca televisyen. Dah lama tak tonton cerita ni, walaupun telah diulang tayang berulang kali di stesen yang sama. Kali ini, episod di mana Sarah yang perasan dia hendak dipinang oleh Aidil, abang kepada Adam. Dan episod ini diakhiri dengan Sarah tersentak bila mengetahui berita sebenar, lelaki idamannya itu ingin berkahwin dengan orang lain. Diiringi dengan deraian jag minuman kaca, pengarah drama cukup bijak menggambarkan hati Sarah yang turut pecah berderai pada masa yang sama. Benarlah, lelaki yang baik itu untuk perempuan yang baik. Tak percaya, mari kita tunggu dan lihat siapakah jodoh anda. Dan bila aku tengok Nur tadi, aku . . . . (menghentikan penulisan, fikiran melayang)