Mesej Berantai

Aku baru buka emel, dan aku dapat mesej sebegini rupa :
Salam Ramadhan….. 
    ''Jangan Berbangga dengan Calvin Klien & Armani Exchange anda kerana….
      Pakaian Terakhir anda adalah Kain Kafan…& perfume anda adalah kapur barus..
    
    '' Jangan Berbangga dengan BMW & Caldina GTfour anda kerana….
       Kenderaan terakhir anda adalah Keranda yang akan diusung…
    
    '' Jangan Berbangga dengan Banglo dan Condo anda kerana….
       Tempat Peristirehat anda yang terakhir adalah Kubur..
    
    '' Jangan Berbangga dengan Kehenseman atau Kecantikan anda kerana…..
       Akhirnya Hanya menjadi santapan si Cacing dan Serangga....
    
    
    '' Saya bersumpah Demi ALLAH S.W.T , Demi ISLAM dan Demi ajaran AGAMA,
     Saya akan menyebarkan mesej ini ke 15 teman2 saya..
     Apabila Saya melanggar Sumpah saya ini, Maka MUSIBAH  akan selalu menimpa saya...
     Saya akan selalu GAGAL dlm usaha dan segala CITA-CITA takkan pernah terwujud.''
    
    Anda sudah bernazar… 

Pernah tak korang dapat mesej yang sebegini rupa, yang biasanya bermula dengan nasihat atau peringatan yang berkaitan dengan agama Islam, dan berakhir dengan kata-kata seperti "perlu dihantar kepada 10 orang, dalam tempoh xx hari (sila isi sendiri), anda akan dapat rezeki yang tak disangka, dan jika ingkar arahan ini (tak pedulikan mesej) bala bencana akan menimpa anda." Pernah tak korang dapat? Adakah anda turuti arahan tersebut??


*Istigfar*


Aku pelik, aneh dan tak faham dengan penulis asal mesej berantai seperti ni. Tujuan ianya ditulis sudah cukup baik, tapi diakhiri dengan cara yang kurang betul.


Siapakah dia (penulis asal) untuk menentukan baik buruk masa depan orang lain hanya dengan tindakan korang menyebarkan mesej tersebut kepada rakan-rakan kamu semua? Siapa? Hanya tuhan sahaja yang layak menentukan baik buruk kamu, hanya Dia sahaja yang tahu masa depan kamu, hanya Dia sahaja yang tahu segala-galanya, yang di langit dan di bumi, yang tersirat dan tersurat. Bukan kamu, manusia.


Dan kamu, kamu yang menyebarkan mesej tersebut, kerna takutkan hukuman atau bala tersebut, (bukan sebab ilmu yang diberikan) adakah kamu berfikir cukup jauh kenapa kamu cukup mudah percaya sesuatu yang kamu tidak tahu asal usulnya? Kenapa kamu cukup mudah percaya kepada janji-janji yang ditulis oleh manusia, bukan janji-janji-Nya yang telah secara jelas di tulis di dalam kitab suci Al-Quran?


Dan berhubung dengan emel di atas, adakah hanya melalui bacaan emel tersebut, akan menyebabkan kamu bernazar?

Nazar ialah janji manusia kepada Allah SWT kerana menghargai nikmat yang diterima atau mendapat hajat yang dicita. (Wikipedia)


Adakah kamu benar-benar BERJANJI atau kamu hanya MEMBACA mesej tersebut? Adakah kamu benar-benar BERNIAT untuk menyebarkan mesej itu kepada orang lain atau sekadar BERNIAT untuk menghabiskan pembacaan emel tersebut?


Bagaimana jika ayat yang ditulis di atas tadi, ditukarkan kepada ayat yang boleh memesongkan akidah kamu, seperti ayatnya menyuruh kamu mempercayai tuhan selain Allah SWT atau melakukan perkara-perkara mungkar yang lain? (Nauzubillah) Adakah kamu katakan itu sebagai Nazar?


*Istigfar*


Aku memang kurang gemar bila dapat mesej berantai ni. Aku tak tahu apa niat si penulis asal tadi. Kenapa adanya ayat pengakhiran yang tidak sesuai langsung untuk diletakkan sebagai penutup kata. Kenapa tidak serahkan sahaja kepada pertimbangan penerima mesej tersebut, sama ada ingin menyebarkan kepada orang lain, ataupun sebagai ilmu pengetahuan bagi dirinya sendiri sahaja.


Aku harap sesiapa yang pernah dapat mesej macam ni, dan akan dapat pada masa hadapan, dan jika kamu rasa kamu ingin sebarkan ilmu yang ada dalam mesej tersebut, sila padam ayat berantai tadi, sebelum disebarkan kepada orang lain.


Ingatlah, matlamat tak menghalalkan cara. Macam pembuat filem yang bertujuan baik untuk memberi keinsafan kepada penonton, tapi jika caranya tidak betul (penuh dengan adegan yang tak sepatutnya), maka ianya tetaplah tidak betul.


Ini hanya kata-kata seorang penulis naif yang masih banyak perlu dipelajari dalam hal ehwal agama. Jika aku salah, tolong betulkan. Wassalam.


Please, break this chain.


p/s : lebih mudah lagi, forward link entri ni kepada penghantar mesej berantai seperti ini.  sharing is caring!